Bahagiakan Saudara Mu dari Kesulitan.
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...
Masih bertemu kita di hari ahad yang indah iaitu 29 Jan 2017. Dan kita masih diberi peluang memperbaiki diri agar menjadi seorang orang muslim yang jauh lebih baik dari semalam.
Pernah tak kita baca atau dengar ungkapan, "Kita mudahkan urusan orang lain, Insha Allah, Allah akan mudahkan urusan kita."
Mesti pernah dengarkan..?
Ok jom kita baca hadith ni. Hadith soheh untuk kita azamkan dalam diri kita, tanamkan dalam diri kita, bila mana ada di antara kawan-kawan kita, sahabat-sahabat kita yang dalam kesusahan, kita tolong dan bantu mereka sehabis baik tanpa mengharapkan balasan. Kerana sesungguhnya Allah amat suka hambaNya yang menolong antara satu sama lain selagi tidak melanggar hukum syarak.
Dari Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya."
(HR. Muslim, lihat juga Kumpulan Hadith Arba'in An Nawawi Hadith ke 36.)
"Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri'tikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) selama sebulan penuh."
(HR Thabrani di dalam Al-Mu'jam Al Kabir no. 13280, 12: 453.
Jadi, apabila kita tahu bahawa sebenarnya kita mampu berbuat sesuatu untuk menolong menyelesaikan masalah atau kesulitan orang lain, segeralah kita bantu mereka, Bila mana, orang itu sendiri telah datang meminta bantuan dari kita.
Kerana bantuan pertolongan yang kita berikan, mungkin akan menjadi sangat bererti bagi orang yang kita tolong itu.
Bayangkan, kalau kita sendiri di tempat mereka... Allah.
Sungguh Allah SWT sangat mencintai orang yang memberikan kebahagiaan kepada orang lain dan menghapuskan kesulitan orang lain.
Jadi lakukan sesuatu yang baik itu dan niatkan sesuatu yang baik itu hanya kerana Allah SWT.
Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu. Aamiin.
Jom, mulai hari ini, kita niatkan untuk sentiasa menolong sahabat-sahabat kita yang dalam kesusahan! Moga Allah memberkati segala amalan kita. aamiin.
Salam sayang,
Chenoor
Comments
Post a Comment